ABDUL Aziz Sheikh Ab Kadir (kiri) dan Pengarah Jabatan Zakat MAINS, Datuk Nor Azmi Musa. FOTO Mohd Amin Jalil
ABDUL Aziz Sheikh Ab Kadir (kiri) dan Pengarah Jabatan Zakat MAINS, Datuk Nor Azmi Musa. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mensasarkan untuk mengutip RM7 juta zakat fitrah pada Ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai berdasarkan bilangan pembayar zakat fitrah yang meningkat selain pelbagai kemudahan yang disediakan untuk memudahkan umat Islam melaksanakan tanggungjawab itu.

"Kita menyediakan pelbagai kaedah pembayaran zakat fitrah selain membuka kaunter zakat di pejabat cawangan MAINS seluruh negeri yang beroperasi tujuh hari seminggu.

"MAINS juga sudah melantik seramai 1,400 amil bagi mengendalikan kutipan termasuk di masjid dan surau.

"Selain itu, umat Islam juga boleh hadir di kaunter zakat yang dibuka di pasar raya atau lokasi tumpuan awam termasuk pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum," katanya di sini.

Beliau berkata, pembayaran zakat fitrah juga boleh dilakukan melalui dalam talian antaranya portal rasmi MAINS www.zakatns2u.biz/fitrah, aplikasi MAINS, aplikasi MyEG, aplikasi SnapNpay, aplikasi Boost dan perbankan Internet melalui jomPay.

Menurutnya, kadar zakat fitrah di Negeri Sembilan tahun ini kekal pada kadar asas sebanyak RM7 seorang namun umat Islam boleh juga membayar pada kadar pilihan RM10 dan RM21 seorang.

"Penetapan pilihan pada tiga kadar harga ini adalah berasaskan kepada kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Negeri Sembilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 12:31 PM