Omar Ahmad


"SAYA memang sangat ralat tidak dapat selamatkan anak saudara, saya dengar dia mengerang kesakitan, tetapi keadaan masa itu kelam kabut," itu luahan bapa saudara mangsa yang rentung dalam kebakaran rumah Jalan Bukit Pasir, Kampung Bukit Pasir Endau di sini, semalam.

Muhammad Hazwami Eruddin Muhiddin, 29, yang juga menantu di rumah berkenaan berkata, ketika kejadian dia baru saja turun ke tingkat bawah untuk menonton televisyen dan tiba-tiba keadaan rumah gelap kerana terputus bekalan elektrik.

Katanya, selepas mendengar ibu mentua menjerit, dia segera bergegas naik ke atas dan mendapati ada api di bilik belakang tingkat atas.

"Bila bekalan elektrik terputus, kakak ipar saya dari atas turun, mak mentua saya naik atas lihat keadaan api ada di bilik belakang tingkat atas.

"Mak mentua saya lemah, saya papah dan bawa keluar rumah, namun api semakin marak sebab bahagian atas adalah struktur kayu dan cuba padamkan api menggunakan air tetapi tidak berjaya.

"Saya dengar kakak ipar jerit anak dia dalam bilik yang terbakar, saya dengar dia mengerang kesakitan, tetapi tidak dapat menolong sebab api makin marak," katanya yang baru menimang cahaya mata pertama seminggu lalu.

Menurut Muhammad Hazwami Eruddin, dia juga panik kerana tidak jumpa isterinya dan bayi ketika cuba memadamkan kebakaran itu.

"Saya cari isteri saya yang dalam pantang dan anak, tetapi tiada, Allah saja tahu bila lihat isteri dalam keadaan pucat pegang bayi berlari keluar rumah sendiri," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, bapa arwah Muhammad Faiz Fikri, Sohari Kahar, 40 berkata, dia sekeluarga reda dengan kejadian itu.

Katanya, kebiasaannya arwah memang main bersama empat adik beradiknya, namun malam tadi dia bermain sendirian dalam bilik.

"Tuhan bagi pinjam (arwah) sekejap saja. Dia anak yang baik. Saya terima dengan reda walaupun pahit," katanya yang tidak berada di tempat kejadian kerana membaiki mesin padi di sawah berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 4:35 PM
 MUHAMMAD Faiz Fikri yang maut dalam kejadian kebakaran di Jalan Bukit Pasir, Kampung Bukit Pasir, malam tadi. FOTO ihsan Ahli Keluarga
MUHAMMAD Faiz Fikri yang maut dalam kejadian kebakaran di Jalan Bukit Pasir, Kampung Bukit Pasir, malam tadi. FOTO ihsan Ahli Keluarga