KAMARUDDIN melihat rumah pusaka ibunya yang hangus terbakar di Kampung Kuala Por, Hulu Terengganu.
KAMARUDDIN melihat rumah pusaka ibunya yang hangus terbakar di Kampung Kuala Por, Hulu Terengganu.
HM Digital

Kuala Berang: “Mulanya saya ingat budak-budak main mercun, tetapi lama-kelamaan bunyinya semakin kuat dan sebaik keluar didapati rumah pusaka dihuni abang ipar terbakar,” kata Abd Aziz Jusoh, 58, dari Kampung Kuala Por di sini.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi menyebabkan rumah arwah ibu mentuanya yang meninggal dunia hampir sebulan lalu musnah dan semua barangan dalam rumah tidak dapat diselamatkan.

“Saya tidak sangka bunyi yang disangka mercun itu rupa-rupanya kebakaran membabitkan rumah arwah ibu mentua. Saya tidak mampu berbuat apa-apa, hanya menyedarinya selepas api marak dan menjulang tinggi.

“Bagaimanapun, saya sekeluarga bersyukur kerana abang ipar yang tinggal di rumah tiada ketika itu kerana ke kedai makan berhampiran,” katanya.

Abang ipar Abd Aziz yang juga penghuni rumah, Kamaruddin Sulaiman, 60, berkata, dia keluar minum di kedai berhampiran kira-kira jam 12 tengah malam sebelum dimaklumkan kejadian itu oleh jirannya.

“Saya terus pulang dan melihat rumah arwah ibu yang saya huni marak dijilat api, tidak mampu berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku pantas selain keadaan gelap.

“Akibat kejadian itu, saya anggarkan kerugian dialami RM100,000 apabila keseluruhan rumah pusaka berkenaan hangus,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Hairysam Mat Tahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.36 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera bersama enam pegawai dan anggota bergegas ke lokasi dan turut dibantu sebuah jentera bersama enam lagi anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 10:39 AM