Siti Rohana Idris


MARKAS 8 Briged Infantri membina dua stesen dekontaminasi di Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu untuk kegunaan 900 anggotanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Stesen itu, Dekontaminasi Ekspres dan Dekontaminasi Menyeluruh dibangunkan pasukan Skuadron Ke-7 Rejimen Askar Jurutera Diraja dan mula digunakan sejak dua hari lalu, untuk menyah kuman anggota dan kenderaan.

Panglima 8 Briged Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hasan berkata, kemudahan itu untuk proses nyah kuman anggota dan aset yang digunakan sama ada terbabit secara langsung dalam operasi Covid-19 atau tidak.

Katanya, ia bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan anggota terpelihara terutama dalam tempoh pandemik ini.

“Kita cakna dengan keselamatan anggota bertugas di barisan hadapan dan mahu memastikan kesihatan mereka terpelihara, sekali gus stesen ini untuk memutuskan rantaian Covid-19,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Stesen Dekontaminasi Ekspres dibina berbentuk terowong dan boleh memuatkan dua anggota dalam satu-satu masa untuk nyah kuman dengan semburan cecair campuran ‘Anolyte’, manakala Stesen Dekontaminasi Menyeluruh untuk membersihkan kenderaan dan aset ketenteraan.

ANGGOTA Pasukan Dekontaminasi Covid-19
ANGGOTA Pasukan Dekontaminasi Covid-19

Setiap anggota dan pegawai terbabit operasi Op Penawar itu akan menjalani lapan proses pemeriksaan termasuk saringan suhu, semburan, mandi, penukaran pakaian dan pemeriksaan kesihatan.

Dalam pada itu, Zamsari berkata, pihaknya bersedia berkhidmat untuk tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April dan akan mengubahsuai kekuatan anggota mengikut keperluan.

“Mereka mungkin akan ditampung di mana-mana kawasan zon merah malah, kawalan keselamatan sempadan juga dikekalkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 12:00 PM