Ruwaida Md Zain

REMAJA lelaki berusia 14 tahun dan masih bersekolah antara tujuh individu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar lembah Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, serbuan dijalankan kurang daripada tempoh 24 jam dan ia membabitkan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Serbuan pertama membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Kinrara, Puchong, pada 10 malam, Rabu lalu.

“Kami menahan dua lelaki tempatan serta merampas 120.9 gram syabu bernilai RM6,045,” katanya pada sidang media di IPK Selangor hari ini.

Menurut Sundralingam, hasil soal siasat terhadap suspek, pihaknya melakukan serbuan kedua dan ketiga di sekitar kawasan sama dan menahan dua lagi lelaki tempatan.

“Pada serbuan kedua dan ketiga, kami merampas 537 pil ekstasi seberat 366.09 gram dan syabu seberat 151.97 gram dengan nilai keseluruhan RM34,350,” katanya.

Sundralingam berkata, tangkapan terbabit membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki menerusi serbuan keempat di sekitar Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan terhadap Honda Jazz suspek yang ditahan di Wangsa Maju membawa kepada penemuan tiga paket plastik mengandungi syabu seberat 410 gram bernilai RM20,500,” katanya.

SUNDRALINGAM (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
SUNDRALINGAM (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Menurut Sundralingam, suspek terbabit kemudiannya memandu arah polis ke sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan sama.

“Di rumah itu, kami menahan seorang wanita berusia 24 tahun dan remaja lelaki berumur 14 tahun.

“Kami turut merampas 13 bungkusan teh Cina berisi syabu seberat 13.65 kilogram bernilai RM682,500. Syabu ini ditemui dalam almari pakaian di bilik utama rumah itu,” katanya.

Menurut Sundralingam, siasatan lanjut mendapati, suspek lelaki dalam serbuan keempat dan suspek wanita dalam serbuan kelima adalah sepupu.

Manakala remaja terbabit adalah anak saudara suspek wanita dan masih bersekolah.

Menurut Sundralingam, selain rampasan keseluruhan dadah yang bernilai RM743,400, pihaknya turut menyita masing-masing sebuah Toyota Hilux dan Honda Accord.

“Dua kenderaan ini dianggarkan bernilai RM205,000. Kami turut merampas wang tunai RM861,” katanya.

Sundralingam berkata, kesemua suspek berumur 14 hingga 44 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 2:41 PM