Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis menahan seorang bapa dan anak lelakinya yang dikesan aktif bekerjasama menjual dadah syabu hingga mampu hidup mewah.

Ia hasil serbuan dan rampasan dadah syabu dianggar seberat 54.06 (kg) kilogram bernilai kira-kira RM1.95 juta dalam serbuan di Bandar Saujana Putra, Jenjarom di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, ketika serbuan jam 4.50 petang itu, suspek yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner cuba melarikan diri.

"Semasa serbuan, salah seorang suspek yang sedang mengeluarkan kotak dari kenderaan itu terkejut dan cuba melarikan diri namun diberkas.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis merampas 10 bungkusan Teh Cina bertulisan dipercayai mengandungi dadah syabu dengan anggaran berat 10,200 gram.

"Siasatan mendapati, suspek berusia 49 tahun serta lelaki berusia 26 tahun itu adalah bapa dan anak," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, tadi.

Ahmad Jefferi berkata, susulan tangkapan itu, suspek menunjukkan sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan sama sebelum polis menemui dua kotak dipercayai dadah jenis sama.

"Siasatan mendapati, dua kotak mengandungi 43 bungkusan Teh Cina berisi dadah sama seberat 43,860 gram.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan adalah 53 bungkusan dengan anggaran berat 54 kilogram bernilai kira-kira RM1.95 juta.

"Dadah yang dirampas itu dipercayai dibawa masuk negara jiran untuk pasaran di Selangor.

"Polis turut menyita sebuah kenderaan dan wang tunai RM60,400," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati rumah diserbu adalah rumah dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan.

"Kedua-dua suspek menetap di Kelantan di mana suspek yang berumur 49 tahun itu berniaga barang mainan dan kedua-dua mereka datang ke sini dengan menginap di sebuah rumah inap (homestay) sekitar kawasan rumah yang diserbu.

"Semakan mendapati, suspek tiada rekod jenayah manakala anaknya mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Hasil ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek terbabit adalah negatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 3:47 PM
ASISTEN Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah (tengah) menunjukkan dadah jenis Methamphetamine yang dirampas. FOTO Ruwaida Md Zain
ASISTEN Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah (tengah) menunjukkan dadah jenis Methamphetamine yang dirampas. FOTO Ruwaida Md Zain