SASIKALA (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Selangor. FOTO Bernama
SASIKALA (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Selangor. FOTO Bernama
BERNAMA

Shah Alam: Polis menumpaskan dua sindiket memproses dadah dan lima kumpulan dipercayai mengedar dadah, hasil tujuh serbuan berasingan yang dijalankan pada 8 hingga 17 September lalu di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata hasil serbuan itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM12.8 juta melibatkan heroin base seberat 40,661 gram; heroin (725 gram); meth oil (365.62 gram); syabu (25,444 gram); ganja (18,335 gram); kokain (4,270 gram) dan ketamin (45,400 gram).

Katanya, sebanyak 14 individu yang ditahan berumur 21 hingga 42 tahun dengan dua daripadanya lelaki warga Sri Lanka serta seorang wanita warga Thailand.

Beliau berkata, serbuan di dua makmal memproses dadah di kediaman dua tingkat di Setia Alam pada 4.30 petang, 8 September dan di sebuah kilang di sekitar Puchong kira-kira 7 malam hari yang sama berjaya menahan tiga lelaki tempatan dan dua lelaki warga Sri Lanka.

"Turut dirampas ialah peralatan serta bahan-bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah dengan nilai rampasan dadah keseluruhan berjumlah RM4.9 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Sasikala berkata, untuk lima lagi tangkapan membabitkan empat kumpulan serta seorang individu telah dilaksanakan di sekitar Balakong, Puchong Indah, Petaling Jaya, Shah Alam dan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masing-masing pada 8, 13, 14, 16 dan 17 September.

Beliau berkata, saringan awal polis terhadap kesemua suspek mendapati tiga daripadanya positif dadah THC manakala seorang lagi positif syabu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Katanya, tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut dilaksanakan dengan pihaknya menyita kesemua aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM526,912.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 7:46 PM