GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Negeri Kelantan menyifatkan penangguhan persekolahan dan peperiksaan utama susulan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah langkah yang tepat ketika negara sedang berdepan Covid-19.

Pengerusinya, Johari Ahmed berkata, tindakan berkenaan diambil selepas mengambil kira keadaan krisis kesihatan yang bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia.

“Kita tidak mahu apabila sesi persekolahan dibuka atau peperiksaan diadakan akan wujud kluster sekolah.

“Dalam satu sesi persekolahan, sudah pasti terdapat bilangan pelajar yang sangat ramai dan dalam situasi negara berhadapan dengan penularan wabak Covid-19, kita seharusnya mengamalkan jarak sosial demi keselamatan dan kebaikan bersama terutamanya golongan pelajar,” katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.

Johari berkata, dia mengingatkan kepada semua pihak terutamanya ibu bapa agar tidak bimbang kerana KPM sentiasa mencari jalan penyelesaian yang terbaik demi mencapai hala tuju sebenar demi kelestarian pendidikan negara.

“Selain itu, ibu bapa juga harus memantau anak-anak mereka yang berada di rumah dan memanfaatkan kemudahan pendidikan yang disediakan oleh KPM sepanjang tempoh PKP yang kini sudah memasuki fasa ketiga pelaksanaannya,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin mengumumkan tarikh peperiksaan SPM dan SVM ditunda kepada suku pertama tahun depan.

Tarikh Peperiksaan Semester 2 STPM turut dipinda kepada Ogos ini, manakala peperiksaan Semester 3 STPM dan STAM diadakan pada suku pertama tahun depan.

Dalam masa sama, UPSR dan PT3 bagi tahun ini turut dibatalkan, sementara pelajar Tingkatan Lima dan Enam Atas yang akan menduduki SPM dan STPM akan diberi keutamaan untuk ke sekolah selepas PKP tamat.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Cawangan Kelantan berkata, penjawat awam harus mematuhi PKP.

“Di Kelantan, terdapat 75,000 penjawat awam dan pesara dan berharap mereka ini memberi contoh yang kepada masyarakat dan ketika ini negara sudah memasuki fasa ketiga PKP.

“Jika didapati mereka bersalah dan melanggar undang-undang, segala keistimewaan yang dinikmati seperti perkhimatan, bayaran gaji, elaun atau wang persaraan mungkin akan ditarik balik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 11:51 AM