SPM penentu kejayaan pada masa akan datang.
SPM penentu kejayaan pada masa akan datang.
Fazurawati Che Lah

SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) antara yang diambil kira dalam menentukan ke mana hala tuju pelajar pada masa akan datang.

Peperiksaan itu memainkan peranan sangat penting dalam kehidupan pelajar kerana keputusan SPM digunakan untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) selain untuk mendapatkan biasiswa dan pekerjaan.

Bagi yang gagal atau tidak berminat ke IPT, dengan keputusan SPM itu juga melayakkan pelajar ke tingkatan enam seterusnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Mengikut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), peperiksaan SPM sepatutnya dijalankan pada Oktober depan, namun pandemik Covid-19 yang melanda negara sekarang menyebabkan SPM dan STPM ditunda ke suku pertama 2021.

Ramai yang melihat penundaan tarikh peperiksaan ini adalah tepat dengan situasi hari ini kerana ia memberi lebih banyak masa kepada pelajar, guru dan warga KPM melakukan persediaan selepas sekolah diarahkan tutup bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, penundaan masa peperiksaan ini seharusnya tidak dilihat sebagai masa untuk berbulan madu kerana merasakan peperiksaan lama lagi.

Katanya, pelajar dinasihatkan untuk tidak bersenang-lenang, sebaliknya kekal positif untuk merebut kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan utama itu demi kepentingan masa hadapan masing-masing.

"Jangan biarkan calon bersendirian dalam merangka jadual pembelajaran mereka di rumah. Ibu bapa dan guru perlu risau sekiranya masa yang sepatutnya digunakan mereka untuk mengulang kaji pelajaran digunakan untuk melayari media sosial atau menonton drama Korea yang kini trending dalam kalangan milenial.

SESI persekolahan ditutup bagi mematuhi PKP.
SESI persekolahan ditutup bagi mematuhi PKP.

"Lantaran itu, ia menuntut bantuan dan komitmen ibu bapa dan guru untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif di rumah dalam tempoh PKP dan penundaan tarikh peperiksaan ini, katanya.

Katanya, tiada alasan untuk calon tidak mengulang kaji pelajaran dan membuat persiapan menghadapi peperiksaan kerana proses pembelajaran kini bukan hanya terhad dengan kehadiran fizikal ke sekolah semata-mata.

Dr Mohamad Fazli memberitahu, pelbagai inisiatif dilaksanakan pihak kementerian dan guru dalam membantu calon menghadapi situasi yang serba mencabar ini.

"Kita biasa mendengar ungkapan keputusan SPM atau STPM yang cemerlang adalah tiket mahupun kunci untuk ke menara gading.

"Justeru, peluang sebegini bukan datang selalu dan berpihak kepada semua orang. Seharusnya calon menggunakan kesempatan masa yang ada ini untuk memberi tumpuan dan fokus sepenuhnya iaitu 120 peratus kepada persiapan untuk menghadapi peperangan 'akademik' demi menggapai sebuah kejayaan pada masa hadapan.

"Andai kata peperiksaan dilaksanakan pada Januari atau Februari tahun depan, pelajar dilihat mempunyai masa tambahan antara dua hingga tiga bulan berbanding tahun sebelumnya dan setiap kumpulan pelajar mempunyai tarikh permulaan SPM berlainan mengikut subjek yang diambil, katanya.

Tiada jalan pintas lain ke menara gading, pakar pendidikan dan sosial negara itu juga berkata, walaupun pelajar terpaksa menempuh pembelajaran yang agak lama berbanding calon SPM dan STPM terdahulu, calon perlu melihat daripada sudut pandang yang positif bahawa keputusan penundaan ini memberi kelebihan kepada mereka dan bukan tertekan dengan situasi ini.

KEJAYAAN cemerlang tiket ke menara gading.
KEJAYAAN cemerlang tiket ke menara gading.

"Pembelajaran secara dalam talian atau maya menjadi satu normal baharu walaupun berbeza tahap penerimaan dalam kalangan pelajar mahupun ibu bapa.

"Pihak KPM misalnya sudah menyediakan pelantar pembelajaran iaitu MOE-DL yang mempunyai pautan kepada Google Classroom dan pautan lain seperti Eduweb TV (koleksi video) dan CikgooTube (perkongsian koleksi video kreatif guru) untuk membantu pelajar, katanya.

Malah katanya, keprihatinan KPM dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) memperkenalkan slot Program TV Pendidikan di beberapa saluran televisyen pada 6 April lalu membolehkan pelajar mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian.

"Pepatah ada menyatakan yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.

'Begitu juga dalam usaha untuk calon menempa kejayaan.

"Kejayaan adalah milik mereka yang berusaha. Calon disaran supaya sentiasa tenang dan bersangka baik. Gunakan masa yang ada akibat daripada penundaan tarikh peperiksaan untuk memperbaiki kelemahan pada mana-mana subjek yang dihadapi, katanya.

Katanya, gunakan sepenuhnya sumber yang ada di persekitaran untuk menggapai kejayaan selain menasihatkan calon
supaya sentiasa perbetulkan niat mereka dalam menuntut ilmu dan kekalkan momentum sehingga hari peperiksaan sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 7:00 AM