ALAT pelindung muka yang dihasilkan FKM digunakan oleh petugas kesihatan. FOTO Ihsan FKM UiTM.
ALAT pelindung muka yang dihasilkan FKM digunakan oleh petugas kesihatan. FOTO Ihsan FKM UiTM.
Norzamira Che Noh


KEPAKARAN yang dimiliki Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam tidak disia-siakan apabila turut mengambil peluang menghasilkan alat pelindung muka bagi kegunaan barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19.

Timbalan Dekan FKM (Penyelidikan dan Jaringan Industri) merangkap Ketua Projek, Profesor Madya Dr Muhammad Hussain Ismail berkata, projek berkenaan digerakkan 25 individu terdiri daripada pensyarah, kakitangan teknikal dan pentadbiran, serta pelajar dan alumni.

“Idea untuk menghasilkan alat pelindung muka ini tercetus pada 23 Mac ekoran permintaan yang tinggi terhadap peralatan perlindungan diri (PPE) khususnya di hospital dan klinik kesihatan kerajaan.

“Justeru, kami menggunakan kepakaran, reka bentuk serta peralatan dimiliki untuk menghasilkan pelindung muka berkenaan

“Sehingga kini, kita sudah menyerahkan 26,446 alat pelindung muka kepada lebih 200 hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pada awalnya, pihaknya menggunakan mesin percetakan tiga dimensi (3D) untuk menghasilkan alat pelindung muka bagaimanapun ia tidak dapat menghasilkan produk yang banyak selain mengambil masa sehingga satu jam untuk menyiapkan satu bingkai alat pelindung muka.

Katanya, FKM kemudian memanfaatkan sebuah mesin pengacuan suntikan (injection moulding) yang berupaya menghasilkan antara 1,500 hingga 2,000 alat pelindung muka sehari.

“Dari segi penyerahan, kita mengambil pendekatan menghantar alat pelindung muka itu berdasarkan permintaan dan kita akan membuat penghantaran tiga kali seminggu.

“Buat masa ini, kita menghantar sebanyak 3,000 set alat pelindung muka pada setiap Isnin, Rabu serta Jumaat menggunakan khidmat syarikat penghantaran,” katanya.

Muhammad Hussain berkata, untuk menjalankan projek berkenaan, pihaknya tidak menggunakan dana UiTM sebaliknya menggunakan dana tajaan serta sumbangan daripada Tabung Face Shield FKM yang diaktifkan pada akhir Mac lalu.

Katanya, antara tajaan yang diterima adalah bahan mentah untuk menghasilkan alat pelindung muka serta bantuan makanan kepada sukarelawan yang terbabit.

Beliau berkata, selain kampus UiTM di Shah Alam, FKM di kampus Permatang Pauh (Pulau Pinang); Pasir Gudang (Johor) dan Bukit Besi (Terengganu) serta beberapa Kampus UiTM turut menghasilkan alat pelindung muka bagi memenuhi keperluan fasiliti kesihatan di sekitarnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 1:39 PM