Lizam Ridzuan

BAGI bersama-sama membantu mengekang penularan Covid-19, pengeluar kenderaan nasional, Proton menyumbang tenaga dengan menghasilkan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan.

Kira-kira 8,000 unit pelindung muka sudah disiapkan dan dihantar ke hospital di Kelantan dan beberapa negeri lain.

Ketua Projek, Lee Yeet Chuan daripada Jabatan Tenaga Baharu Proton berkata, setakat ini, proses penghasilan pelindung muka itu berjalan lancar.

"Projek ini juga satu daripada tanggungjawab syarikat kepada negara.

"Kami harap ia dapat digunakan oleh petugas dalam mengekang penularan Covid-19," katanya.

Kilang Proton di Shah Alam, Selangor yang tidak beroperasi sejak 18 Mac lalu bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini menjadi lokasi penghasilan produk itu.

LEE
LEE

SHADELI
SHADELI

Proton menyasarkan untuk menghasilkan 60,000 unit pelindung muka.

Setakat ini, kira-kira 3,000 unit pelindung muka dihasilkan setiap hari.

Seramai 50 kakitangan bekerjasama menghasilkan pelindung muka berkenaan.

Kesihatan kakitangan berkenaan juga diambil kira dan Proton akan melakukan pemeriksaan suhu tiga kali sehari terhadap mereka selain penjarakan sosial ketika kerja menyiapkan pelindung muka.

Kakitangan yang terbabit menyiapkan pelindung muka, Nor Adibah Ismail daripada Jabatan Perolehan Proton berkata, ia inisiatif yang baik untuk syarikat dan negara.

"Selain mengisi masa lapang, tugasan dibahagikan mengikut bahagian dan kami bersama-sama menghasilkan pelindung muka ini," katanya yang berperanan memasang dan menampal pelindung muka kepada kepada bingkai.

Shadeli Sham A Khalek dan Nasaruddin Abu Bakar, kedua-duanya daripada Jabatan Modal Insan dan Pentadbiran turut bersetuju dengan inisiatif dilakukan syarikat.

Mereka mengatakan ini masa yang sesuai untuk berbakti kepada negara.

ADIBAH
ADIBAH

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed berkata, komitmen kakitangan yang secara sukarela membantu sangat dihargai.

"Pada masa sama, komuniti pembekal turut terbabit dalam projek ini malah cukup aktif menyumbang," katanya.

Usaha sama ini turut membabitkan pembekal komponen automotif, Hicom-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd yang menyumbang 1.5 tan polipropilena iaitu komponen utama bampar kereta untuk dijadikan bingkai pelindung muka.

Pos Logistic Sdn Bhd pula menyumbang lebih 2,000 kotak yang digunakan untuk membungkus pelindung muka tersebut serta bagi memudahkan urusan penghantaran.

Reka bentuk asal pelindung muka ini pula sumbangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum ia dibina pereka di Proton Design dengan slogan 'Stay Strong! We will get through this!'

PEMERIKSAAN teliti sebelum diedarkan untuk petugas KKM.
PEMERIKSAAN teliti sebelum diedarkan untuk petugas KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 6:30 AM
DIHASILKAN dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
DIHASILKAN dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.