Foto hiasan
Foto hiasan
Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) membuat penjadualan semula takwim peperiksaan kendaliannya bagi tahun ini berdasarkan Pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini yang ditangguhkan dijadualkan diadakan pada 6 Januari hingga 9 Februari 2021.

Dalam kenyataannya di Kuala Lumpur hari ini, KPM berkata, bagi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pula, ujian lisan akan diadakan pada 16 November 2020 hingga 16 Januari 2021, ujian bertulis pada 6 Januari 2021 manakala Sejarah 1251 pada 7 Januari 2021.

"Bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), ujian bertulis akan diadakan pada 17, 18 dan 22 hingga 25 Februari 2021.

"Untuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Kohort 2020, peperiksaan semester dua akan berlangsung pada 12, 13, 17 dan 18 Ogos 2020 dan semester tiga akan berlangsung pada 1,2,3, 8 dan 9 Mac 2021," kata kenyataan itu.

Katanya, peperiksaan semester satu STPM 2021 (Kohort 2021) akan diadakan pada 22 hingga 25 Februari 2021 manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (kecuali bagi komponen Hif Al-Quran- Tasmi' dan Tahriri 2020) dibatalkan selaras dengan pengumuman Menteri Pendidikan pada 15 April 2020.

"Penggunaan beberapa sekolah menengah sebagai pusat peperiksaan juga mengakibatkan perubahan tarikh pembukaan sesi 2021.

"Tarikh pembukaan sekolah tahun depan akan diumumkan kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 5:52 PM