SUASANA petang di pangkalan nelayan pantai Mengabang Telipot yang lengang susulan orang ramai tidak dapat ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan hasil laut segar. FOTO Ghazali Kori
SUASANA petang di pangkalan nelayan pantai Mengabang Telipot yang lengang susulan orang ramai tidak dapat ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan hasil laut segar. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim

PENDAPATAN kira-kira 400 nelayan pantai di Kampung Mengabang Telipot, Kuala Nerus terjejas apabila orang ramai tidak ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan ikan segar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Banggol, Wan Marzuki Abd Wahab, 50, dari Kampung Banggol, Mengabang Telipot berkata, nelayan pantai di kampung itu selama ini mengharapkan hasil jualan ikan yang ditangkap menggunakan kaedah memancing sebagai sumber pendapatan.

“Walaupun terkesan dengan PKP, kami tetap bersyukur kerana kerajaan masih memberi kelonggaran kepada nelayan untuk keluar menangkap ikan,” katanya ditemui di pangkalan nelayan pantai Mengabang Telipot.

Menurut Wan Marzuki yang juga nelayan, pada masa sama, bukan semua nelayan di kampung itu keluar menangkap ikan kerana ada kalangan mereka tidak memiliki lesen dikeluarkan Jabatan Perikanan.

“Nelayan yang tidak memiliki lesen ini hanya sebilangan kecil sahaja.

“Selain itu, sebahagian besar nelayan di sini menjual hasil laut secara terus kepada pelanggan yang datang ke pangkalan. Ada juga yang kami jual kepada peraih,” katanya.

Menurut Wan Marzuki, purata hasil jualan ikan antara RM100 hingga RM200 sehari.

Bagaimanapun, selepas ditolak kos diesel dan kos lain, keuntungan bersih diperoleh hanya sekitar RM30 hingga RM50 sehari.

“Ia cukup untuk menampung perbelanjaan harian keluarga bagi tempoh satu atau dua hari.

“Bagaimanapun, kami berterima kasih kerana bantuan diberikan kerajaan susulan PKP meringankan beban kami, terutama nelayan yang tidak memiliki lesen untuk ke laut,” katanya.

Menurut Wan Marzuki, bantuan disalurkan Kerajaan Pusat, kerajaan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mencukupi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 6:37 PM