GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

KERAJAAN Pulau Pinang memutuskan tidak membenarkan premis gunting rambut dibuka atau beroperasi di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang dipengerusikannya, hari ini.

“Bagi sektor perkhidmatan gunting rambut asas yang turut diumumkan (oleh kerajaan pusat semalam), kerajaan negeri memandang serius berhubung peratusan lebih daripada 95 peratus maklum balas awam yang menyatakan kebimbangan mereka.

“Malah, mesyuarat turut mengambil kira persoalan seperti faktor penjarakan sosial dan kemungkinan menyebabkan wujudnya kluster baharu,” katanya pada sidang media disiarkan secara langsung menerusi Facebook peribadinya di Georgetown, hari ini.

Justeru, beliau berkata, mesyuarat JKKN memutuskan bahawa kerajaan Pulau Pinang berhak untuk tidak mengikut keputusan kerajaan pusat sekiranya ia masih dilaksanakan dan berharap kerajaan mengkaji semula perkara itu demi keselamatan semua pihak.

Semalam, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan beberapa sektor tambahan antaranya industri automotif, projek pembinaan serta perkhidmatan terpilih termasuk perkhidmatan gunting rambut asas untuk beroperasi secara berperingkat semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April depan.

Sementara itu, Chow berkata, kerajaan negeri akan melanjutkan tempoh operasi bagi perkhidmatan penjualan kedai input pertanian (baja/racun), perkakasan, penjualan makanan haiwan dan ubatan sehingga 5 petang mulai 13 April ini.

“Tempoh operasi akan dilanjutkan kepada 5 petang iaitu bermula dari 8 pagi hingga 5 petang, berbanding ketika ini dari 8 pagi hingga 2 petang. Hari pengoperasian masih dikekalkan iaitu dua kali seminggu pada Isnin dan Khamis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan rakyat negeri ini agar berhati-hati ketika membuat pembelian penutup hidung dan mulut secara dalam talian (online).

Katanya, perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan 60 kertas siasatan penipuan kes terbabit direkodkan dalam tempoh 30 Januari hingga 9 April lalu di lima daerah di negeri ini membabitkan kerugian RM466,496.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 6:38 PM