ANGGOTA polis membuat sekatan jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan di Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA polis membuat sekatan jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan di Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Asrol Awang


POLIS menafikan dakwaan tujuh kawasan di daerah Kuantan sudah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihak polis hanya mempertingkatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana Kuantan kini dikategorikan Zon Merah bagi kes positif Covid-19.

Katanya, tujuh kawasan itu ialah Taman Mahkota Aman, Taman Mahkota Permai atau Taman Mahkota, Taman Indera Sempurna, Taman Sri Inderapura, Taman Pandan Perdana, Indera Mahkota 2 dan FELDA Bukit Goh.

“Kawasan ini akan dipantau 24 jam oleh Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Penduduk kawasan terbabit dinasihatkan supaya mengelak dari keluar rumah kerana hanya ketua keluarga dibenarkan keluar atas keperluan.

“Setiap laluan kecil di tujuh kawasan itu ditutup dan hanya laluan utama sahaja dibuka dan dikawal secara ketat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Noor berkata, penduduk yang memerlukan bantuan atau berdepan situasi kecemasan boleh menghubungi Bilik Gerakan PDRM di talian 09-5652090.

Katanya, orang ramai juga boleh memohon bantuan dan menyalurkan aduan kepada anggota keselamatan yang mengawal kawasan perumahan mereka.

“Sepanjang tempoh PKP ini, orang ramai tidak perlu panik dan diharap mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, polis tidak berkompromi untuk membuat tangkapan jika ada individu dari tujuh kawasan terbabit didapati keluar rumah tanpa alasan yang tidak kukuh. Setakat ini, seramai 106 individu ditahan di daerah ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 7:49 PM