PEK makanan dihantar ke Marudi dan Beluru bagi membantu penduduk terjejas banjir. FOTO Sekretariat JPBN.
PEK makanan dihantar ke Marudi dan Beluru bagi membantu penduduk terjejas banjir. FOTO Sekretariat JPBN.
Muhd Amirul Faiz Ahmad


SEJUMLAH 1,169 pek makanan dihantar ke pedalaman Sarawak, membabitkan Marudi dan Beluru.

Ia bagi membantu penduduk di 24 penempatan yang terjejas banjir.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, proses penghantaran dilaksanakan menggunakan bot ekspres dan lori, dengan 843 pek makanan ke Marudi.

“Penghantaran bermula pada 8 pagi, hari ini, membabitkan penempatan di Marudi antaranya di Kuala Tutoh; Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tutoh; Lubok Nibong; Rumah (RH) Asong; RH Lajang; RH Anthony; RH Sumping; RH Rok; Long Patan; Long Pahlo dan Long Ukok.

“Manakala bagi Beluru membabitkan Lubok Kulat; Nanga Seridan; Nanga Majang; Long Ajoi; Lubok Mulung dan Long Sepelling,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, penghantaran makanan dari Marudi ke Lubok Kulat akan menggunakan bot kevlar milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, membabitkan 20 pek makanan.

“Selepas selesai penghantaran ke Lubok Kulat, perjalanan akan bersambung ke Pekan Lapok demi memastikan kesemua penempatan terjejas banjir di Beluru menerima bantuan,” katanya.

Katanya, keseluruhannya seramai 39 pegawai dan anggota agensi kerajaan negeri dan Pusat terbabit dalam menguruskan penghantaran bekalan makanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 11:51 AM