Mohd Rizal Abdullah

Miri: Semua agensi dan jabatan yang terbabit dalam Op Banjir kini dalam fasa menghantar bekalan kepada penghuni rumah panjang yang terjejas memandangkan kebanyakan mangsa tidak dapat keluar dari kampung masing-masing.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, setakat ini, 465 pek makanan diagihkan kepada penghuni rumah panjang di beberapa kawasan di Marudi menggunakan bot ekspres.

Menurutnya, antara kawasan yang terjejas adalah di Benawa, Linei Bukit, Rumah Panjang Jipun dan Rumah Panjang Mugang.

“Semua penghuni terputus hubungan apabila kawasan berkenaan dinaiki air dan menjejaskan mereka mendapatkan makanan,” katanya.

Katanya, kawasan lain terutama di kawasan pedalaman di Baram antaranya Long Sobeng Long Atong setakat ini juga masih terjejas.

Menurutnya, bekalan makanan dihantar menerusi bantuan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri ke kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai banjir di bahagian lain di Sarawak antaranya Bintulu, Mukah dan Sarikei, Ismail berkata, banjir semakin surut dan tiada pemindahan dilakukan kerana penghuni mahu terus berada di rumah masing-masing.

Kerja pengagihan bantuan di kawasan pedalaman Sarawak mencabar berikutan faktor geografi, selain tidak mempunyai liputan komunikasi.

Dalam perkembangan lain, sehingga semalam, 16 sekolah masing-masing di Baram, Limbang, Sebauh, Sarikei, Mukah dan Sibu membabitkan 1,067 murid masih lagi ditutup daripada sebarang aktiviti.

Katanya, penutupan itu masih diteruskan selepas penilaian Pejabat Pendidikan Daerah mendapati sekolah berkenaan masih dalam keadaan tidak selamat sekiranya aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 9:06 AM
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memunggah  pek makanan untuk  diagihkan kepada penghuni rumah panjang.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memunggah pek makanan untuk diagihkan kepada penghuni rumah panjang.