STATUS Effah di Facebook berhubung bantuan ditawarkan kepada golongan memerlukan.
STATUS Effah di Facebook berhubung bantuan ditawarkan kepada golongan memerlukan.
Amirul Aiman Hamsuddin


TIDAK sanggup melihat keluarga yang tiada bekalan makanan dan terputus punca pendapatan membuatkan dua sekawan di Kuala Selangor membantu golongan itu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Effah Juriana Jarmo, 34, menyumbang wang yang dikirim terus ke akaun penerima manakala Norbaizilah Kandani, 36, pula menyumbang barangan keperluan dapur.

“Alhamdulillah, sehingga kini saya sudah membantu mengirim wang kepada 20 penerima.

“Manakala rakan (Norbaizilah) pula menyumbang barangan keperluan kepada lebih 30 keluarga yang memerlukan,” katanya.

Effah Juriana berkata, golongan terpilih menerima sumbangan terdiri daripada kalangan bekerja sendiri dan peniaga kecil-kecilan yang tiada sumber pendapatan tetap.

“Saya juga memberi tumpuan sumbangan kepada golongan warga emas, pasangan yang sakit dan tanggungan ramai,” katanya.

Menurut Effah Juriana, dia kerap memuat naik status di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sekiranya ada pihak yang memerlukan bantuan.

“Niat saya ikhlas hendak membantu mereka yang terkesan dengan PKP.

“Saya menganggap mereka ibarat ibu bapa dan saudara-mara yang memerlukan bantuan,” katanya.

Tambah Effah Juriana, dia tidak dapat menahan sebak apabila sebahagian penerima sumbangan sebelum ini hanya menjamah bubur dan nasi goreng ekoran arahan PKP.

“Saya gembira kerana ini kebajikan yang dapat saya hulurkan bagi meringankan bebanan ditanggung penduduk.

“Saya berharap mereka dapat memanfaatkan bantuan yang diberi sekali gus membantu kerajaan memastikan rakyat yang terkesan menerima bantuan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Effah Juriana memaklumkan dia turut bekerjasama dengan mana-mana sukarelawan memberi makanan kepada kucing liar.

“Saya bersimpati dengan nasib haiwan jalanan ini yang hilang tempat bergantung,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 10:56 AM