Husaimi (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nor Azman. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Husaimi (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nor Azman. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menghulurkan bantuan kepada komuniti nelayan yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Bantuan diagihkan kepada 45 penerima melalui program Sahabat Maritim bagi membantu komuniti nelayan di dua kampung iaitu Kampung Sungai Tiram dan Kampung Batu 8 Lekir, Sitiawan.

Pengarah APMM Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi meringankan beban nelayan yang terjejas sekali gus memberikan khidmat sosial kepada masyarakat.

Menurutnya, bantuan diberikan kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.

"Sumbangan ini disalurkan kepada isi rumah komuniti nelayan yang dikenal pasti berdasarkan kemampuan mereka yang terkesan dengan PKP susulan penularan wabak Covid-19.

"Bantuan yang diberikan ialah makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan barangan lain supaya dapat membantu mereka dalam situasi ketika ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penyerahan bantuan berkenaan disampaikan Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Gagah, Leftenan Komander Maritim Husaimi Hussin yang mewakili Shahrizan di Kampung Sungai Tiram, Lekir, hari ini.

Sementara itu, nelayan, Nor Azman Baharuddin, 47, berkata bantuan yang diterima itu dapat menambah bekalan makanannya yang semakin menyusut.

Menurutnya, pendapatannya terjejas biarpun nelayan dibenarkan beroperasi namun dia terpaksa mengehadkan aktiviti menangkap ikan berikutan kekurangan peraih di kawasannya ketika PKP.

"Peraih ikan kurang sejak PKP menjadikan saya tidak turun ke laut setiap hari selain turut bimbang dengan wabak ini serta keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

"Hari pertama berpuasa kami hanya berbuka dengan lauk telur saja kerana mahu berjimat. Sepanjang Ramadan ini saya belum turun ke laut, mungkin esok akan turun kerana peraih akan datang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:04 PM