Dua lelaki bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah bakal ke tali gantung selepas ditahan bersama 110 gram dadah di perairan Terumbu Gusung dekat sini, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PPM Sabah
Dua lelaki bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah bakal ke tali gantung selepas ditahan bersama 110 gram dadah di perairan Terumbu Gusung dekat sini, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PPM Sabah
Hazsyah Abdul Rahman

[email protected].y

DUA lelaki bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah bakal ke tali gantung selepas ditahan bersama 110 gram dadah di perairan Terumbu Gusung dekat Lahad Datu, tengah malam tadi.

Suspek berusia 36 tahun dan 45 tahun ditahan kira-kira jam 12.03 tengah malam dalam rondaan Op Covid-19.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, anggota rondaan terserempak sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, bot itu kemudiannya dihampiri untuk pemeriksaan lanjut.

“Sebaik diperiksa, dua lelaki tempatan berada dalam bot itu. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan tiga paket lutsinar berisi hablur jernih dan satu peket lagi berisi kertas timah.

“Turut ditemukan satu bungkusan plastik mengandungi hasil sarang burung walit dan alat penimbang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, hasil keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan RM21,000. Suspek dibawa ke Markas PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 23 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 dan Seksyen 25(1)(N) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Enakmen Pemulihan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 1:36 PM