DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Amir Mamat


PELAKSANAAN solat sunat Tarawih di masjid dan surau pada Ramadan ini boleh diteruskan sekiranya rakyat memberi kerjasama memutuskan rantaian pandemik Covid-19, sekali gus menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, ini kerana sekiranya PKP fasa kedua yang dijadualkan tamat pada 14 April ini tidak diteruskan, rakyat boleh menjalani kehidupan seperti biasa termasuk melakukan rutin solat sunat Tarawih seperti tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, ketika masih berbaki 10 hari selepas PKP fasa kedua tamat sebelum umat Islam menyambut Ramadan, sebarang keputusan berhubung solat Tarawih di masjid dan surau akan dimuktamadkan.

“Sudah pasti keputusan bakal diumumkan itu seiring dengan kehendak kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 dengan sebaik mungkin selain turut bergantung kepada suara Majlis Agama Islam di negeri masing-masing.

“Alhamdulillah di negara kita nampak berlaku penurunan tetapi peringkat global masih belum berkurangan yang masih memerlukan kerjasama daripada semua pihak (untuk patuh arahan kerajaan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan khas dan penyampaian amanat bersama wakil agensi agama Melaka di pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Palah, Melaka, hari ini.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk WiraAbdul Halim Tawil dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Azahan Md Samat.

Terdahulu, Zulkifli menyampaikan sumbangan kepada Tabung Musaadah Covid-19 berjumlah RM50,000 kepada MAIM yang diwakili oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali untuk disalurkan kepada rakyat melaka yang memerlukan bantuan sepanjang PKP.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, beliau yakin sekiranya solat sunat itu dapat dilakukan seperti kelaziman, ia tetap bergantung kepada ketetapan syarat mahu pun garis panduan yang akan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya negara benar-benar bebas wabak berkenaan.

“Meskipun tanda penularan Covid-19 di Malaysia semakin pulih, namun usaha mengekang wabak ini turut bergantung dengan kerjasama di peringkat global,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 8:20 PM