BERNAMA

SEBANYAK 426 kes penipuan membabitkan penjualan penutup hidung dan mulut dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga semalam dengan jumlah kerugian lebih RM3 juta.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, seramai 30 individu termasuk 10 wanita tempatan ditahan kerana disyaki terbabit menjual penutup hidung dan mulut palsu di media sosial.

Beliau berkata kesemua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis kini sedang mengesan saki-baki suspek termasuk dalang sindiket itu.

“Setakat semalam, kami telah membuat 19 pertuduhan dari 30 tangkapan yang dibuat. Modus operandi yang dilakukan ialah mengiklankan penjualan penutup hidung dan mulut melalui media sosial,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Menurutnya, segala urusan dibuat melalui aplikasi WhatsApp dan setelah pembeli membuat bayaran, suspek akan menghilangkan diri dan gagal dihubungi selain akses media sosial disekat.

Katanya, sindiket itu juga memberikan nombor pengesan palsu bagi mengaburi pembeli.

Saiful Azly berkata, polis sentiasa memberi peringatan kepada orang ramai melalui pelbagai hebahan di media sosial seperti WhatsApp, Facebook Cyber Crime Alert dan rerayap di saluran utama televisyen, selain kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan sebaran maklumat berkenaan penjualan penutup hidung dan mulut.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan menerusi portal ‘Semakmule’ dan status penjual dalam talian di laman web http://biztrust.ssm.com.my sebelum membuat pembelian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Katanya, dia mengingatkan orang ramai supaya tidak membenarkan mana-mana individu mengakses kemudahan perbankan peribadi dan jangan terburu-buru dalam melakukan pembelian.

Orang ramai boleh menghubungi Infoline JSJK di talian 013-2111222 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Dalam perkembangan lain, Saiful Azly berkata, PDRM tidak menerima laporan berkaitan penipuan penjualan peralatan perlindungan diri (PPE) dan penjualan penutup hidung dan mulut kitar semula seperti tular di media sosial. – BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 7:24 PM