Syabu yang dirampas polis daripada lelaki di sebuah rumah di Naka, Padang Terap. FOTO Ihsan Polis
Syabu yang dirampas polis daripada lelaki di sebuah rumah di Naka, Padang Terap. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN tokan dadah menyewa rumah di Naka, Padang Terap untuk menjalankan kegiatan menjual bekalan itu kepada pelanggan bagi mengaburi pihak berkuasa sejak tujuh bulan lalu gagal apabila diserbu polis semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap yang menerima maklumat awam dan hasil risikan bertindak menyerbu rumah itu jam 8.30 pagi dalam Op Tapis.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan lelaki berusia 37 tahun bersama syabu seberat 95.2 gram bernilai RM14,280.

“Lelaki itu yang tidak bekerja dan hanya bergantung pada hasil jualan dadah itu menggunakan rumah sewa terbabit untuk menjalankan kegiatannya mengedar dadah secara kecil-kecilan.

“Siasatan juga mendapati dia mula mengedar dadah sejak 2002 namun aktif semula sejak tujuh bulan lalu dengan pelanggannya dari kawasan Pokok Sena,” katanya hari ini.

Noh berkata, suspek juga mendapatkan bekalan dadah dua kali seminggu daripada lelaki dikenalinya setahun lalu di Sungai Dua, Pulau Pinang.

“Semakan juga mendapati dia memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphethamine.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 3:14 PM