Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS memanggil enam individu bagi membantu siasatan kes kecurian yang berlaku di kediaman Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, semua individu berkenaan dipanggil bermula 12 tengah hari ini.

“Semua individu berkenaan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Sebarang maklumat lanjut masih belum boleh didedahkan kerana tidak mahu mengganggu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, media melaporkan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan kecurian berlaku di kediaman beliau dan polis sudah membuat siasatan di rumah sejak malam tadi.

Bagaimanapun, beliau mendakwa bahawa kehilangan RM250,000 bukan wang milik Bersatu.

“Saya sudah membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumah saya. Pihak polis dan forensik sudah datang dan membuat siasatan di rumah sejak malam tadi.

“Buat masa ini, saya tidak dapat memberi sebarang butiran sehingga siasatan selesai,” katanya.

Berita berkaitan

Bukan wang PPBM-Syed Saddiq

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 12:30 PM