SYED SADDIQ
SYED SADDIQ
Nurul Hidayah Bahaudin

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa wang tunai RM250,000 yang hilang di kediamannya di Petaling Jaya, kelmarin, bukan wang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Syed Saddiq berkata, beliau sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya, kelmarin.

“Pihak polis dan forensik juga sudah datang dan membuat siasatan di rumah saya sejak semalam.

“Buat masa ini, saya tidak dapat mengesahkan sebarang butiran atau spekulasi sehingga siasatan selesai.

“Laporan media bahawa RM250,000 itu adalah wang PPBM adalah tidak benar dan anggaran kecurian masih belum dapat disahkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, pihaknya berterima kasih kepada polis atas kerjasama baik dan berharap kes itu dapat diselesaikan segera.

“Saya harap semua pihak juga tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita tidak sahih kepada orang ramai,” katanya.

Dalam laporan polis dibuat Syed Saddiq, beliau memaklumkan menyedari wang tunai berkenaan diletakkan dalam peti besi hilang kira-kira jam 7 petang, kelmarin.

Beliau memaklumkan bahawa kali terakhir dia membuka peti besi berkenaan adalah pada 13 atau 14 Mac lalu malah tiada kesan umpil dan keadaan rumah serta bilik adalah kemas.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pembantu rumah warga Indonesia ditahan pihak polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 4:46 PM