FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Mac lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, SPRM mengesyaki berlakunya penyelewengan di dalam akaun milik Armada.

"Susulan itu siasatan diteruskan menerusi tangkapan ke atas individu terbabit.

"SPRM menolak sekeras-kerasnya tangkapan ke atas Bendahari Armada bermotifkan politik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, individu itu kini ditahan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 7 Jun bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Kita akan siasat dari pelbagai sudut. Saya menggesa masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan mempolitikkan tangkapan ini.

"Tiada motif politik tetapi ia bertujuan untuk menjalankan siasatan ke atas kes yang sedang kita laksanakan," katanya.

Syed Saddiq sebelum ini mendakwa wang yang hilang di rumahnya di Petaling Jaya adalah wang peribadi milik beliau dan ibu bapanya.

Syed Saddiq mendakwa, wang itu sebahagian besar untuk pengubahsuaian rumah dan bagi tujuan peribadi.

"Saya dan keluarga tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Kami sendiri yang membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang itu.

"Sekiranya benar duit itu duit haram, kenapa kami membuat laporan polis? Saya akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan SPRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 7:06 PM