PELAWAT memakai topeng muka dan mulut bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Hospital Sungai Buloh. FOTO Hairul Anuar Rahim
PELAWAT memakai topeng muka dan mulut bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Hospital Sungai Buloh. FOTO Hairul Anuar Rahim
Baharom Bakar


KERAJAAN mengakui berlaku kekurangan penutup mulut dan hidung berikutan penularan Covid-19 di seluruh negara ketika ini.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid menegaskan masalah kekurangan penutup mulut dan hidung itu akan diatasi dengan segera.

Menurutnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanda Linggi sudah mengarahkan masalah kekurangan penutup mulut dan hidung diselesaikan segera oleh kementeriannya.

“Pada taklimat dan perjumpaan dengan pegawai di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pagi tadi, kita mengakui berlaku kekurangan penutup mulut dan hidung di seluruh negara berikutan penularan Covid-19,” katanya.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan dilantik sebagai timbalan menteri Isnin lalu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Nerus hari ini.

Kira-kira 500 penyokongnya hadir ke LTSM untuk menyambut kepulangan Rosol.

Ketika mengulas sebahagian peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga bahan itu, Rosol berkata, kerajaan sudah mengarahkan KPDNHEP mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan ke atas orang ramai.

“Orang ramai diminta melaporkan terus kepada KPDNHEP bagi memudahkan tindakan dilakukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 8:30 PM