Petugas pembersihan MBJB melakukan pembersihan Ops Nyah Cemar di masjid dan surau sekitar bandar raya ini hari ini bagi membanteras penularan wabak COVID-19. FOTO IHSAN MBJB
Petugas pembersihan MBJB melakukan pembersihan Ops Nyah Cemar di masjid dan surau sekitar bandar raya ini hari ini bagi membanteras penularan wabak COVID-19. FOTO IHSAN MBJB
Mohamed Farid Noh


MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melakukan proses nyah cemar dan dekontaminasi terhadap 53 masjid dan surau di kawasan pentadbirannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dr Aslinda Salikin berkata, aktiviti nyah cemar yang diutamakan di masjid dan surau yang menjadi tumpuan awam berikutan risiko penyebaran wabak Covid-19 di premis berkenaan adalah tinggi.

Katanya, proses nyah cemar itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru.

“MBJB mensasarkan untuk melaksanakan kerja nyah cemar ini di beberapa masjid dan surau terpilih dalam kawasan MBJB lagi, bergantung kepada jumlah peralatan perlindungan diri (PPE) sedia ada yang terhad.

“Petugas kami kekurangan peralatan PPE yang termasuk sarung tangan, penutup mulut dan hidung tiga lapisan serta pakaian perlindungan diri menyebabkan kerja nyah cemar tidak dapat dioptimumkan sepenuhnya.

“Namun sehingga semalam MBJB sudah menjalankan kerja nyah cemar di 44 masjid dan surau dalam kawasan MBJB dengan sembilan lagi premis sama akan menjalani proses sama hari ini.

“MBJB menggerakkan sebanyak lima pasukan yang terdiri dari sembilan hingga 10 anggota dari Jabatan Kesihatan dan Unit Tindakan Cepat (UTC) MBJB untuk melaksanakan kerja nyah cemar ini di masjid dan surau dalam kawasan MBJB,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Aslinda berkata, MBJB berharap masjid lain dapat mengambil inisiatif sendiri di dalam melaksanakan kerja pembersihan secara sukarela di dalam pencegahan Covid-19 di kawasan masing-masing selaras dengan panduan nyah cemar, disinfeksi dan sterilasi masjid serta surau bagi pencegahan Covid-19.

“Masjid dan surau yang ingin melaksanakan langkah nyah cemar ini boleh mendapatkan khidmat nasihat dari Pejabat Kesihatan Johor Bahru sebelum melaksanakan aktiviti disinfeksi berkenaan.

“Namun langkah ini hendaklah dilaksanakan dengan pemakaian PPE yang lengkap dan teknik yang betul di dalam memastikan bahawa semua langkah keselamatan diri sudah diambil,” katanya.

Ditanya sama ada MBJB akan turut menjalankan operasi nyah cemar ini di tempat yang menjadi tumpuan awam seperti pasar raya, Dr Aslinda berkata, operasi berkenaan akan dilakukan pada minggu ini.

“Unit Tindakan Cepat MBJB (UTC) dan Jabatan Kesihatan MBJB akan melaksanakan kerja nyah cemar di kawasan perhentian bas pada minggu ini, manakala Jabatan Landskap akan melaksanakan proses sama di kawasan taman awam serta kontraktor lantikan MBJB pula akan laksanakan nyah cemar di gerai-gerai milik MBJB.

“Manakala proses nyah cemar di pasar awam pula dijalankan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM) setiap minggu mengikut jadual yang ditetapkan.

“Namun pembersihan ini juga perlu dilakukan setiap hari oleh peniaga pasar memandangkan pasar awam adalah dibenarkan beroperasi setiap hari (kecuali cuti) dalam tempoh PKP ini,” katanya.

Beliau berkata, MBJB juga mengingatkan pemilik premis perniagaan untuk memastikan mengamalkan langkah pencegahan wabak iaitu dengan mengamalkan penjarakan sosial di kalangan pelanggan selain mengawal jumlah kemasukan pelanggan ke premis dalam satu-satu masa, meletakkan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) serta mengukur suhu badan pelanggan sebelum memasuki ke premis perniagaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 3:24 PM