Nurul Amanina Suhaini


MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menafikan kewujudan tabung Covid-19 MBJB bagi membuat kutipan awam.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, pihaknya mendapat laporan terdapat individu yang tidak bertanggungjawab membuat permohonan sumbangan wang untuk tabung itu.

“MBJB ingin menyatakan dengan jelas bahawa tabung Covid-19 MBJB adalah tidak wujud.

“MBJB tidak pernah memohon sebarang sumbangan kewangan daripada mana-mana pihak sama ada menerusi pegawai, Ahli Majlis atau individu untuk membuat kutipan sumbangan.

“MBJB menasihatkan supaya pihak yang sudah dihubungi oleh individu tertentu yang menggunakan nama MBJB yang memohon sumbangan itu segera membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun akan membuat laporan polis mengenai isu itu dalam tempoh terdekat.

“Kepada mana-mana pihak atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat untuk membuat sumbangan kepada mereka yang memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diminta berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diselaraskan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 7:11 PM