PAPAN tanda iklan yang masih mempunyai logo bintang satu ketika diperiksa semalam. FOTO Ihsan MBJB
PAPAN tanda iklan yang masih mempunyai logo bintang satu ketika diperiksa semalam. FOTO Ihsan MBJB
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebuah restoran di Taman Mount Austin, di sini yang didakwa memaparkan unsur komunisme di papan iklan serta hiasan dalaman premis didapati tidak beroperasi dan dalam proses ubah suai.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, tiada iklan berbentuk komunis dan seumpamanya di dalam premis, malah gambar tular di media sosial baru-baru ini adalah gambar lama restoran itu sebelum pengubahsuaian dilakukan.

"Pemantauan susulan semalam yang dijalankan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati pemilik premis telah membuka papan iklan premis perniagaannya (yang sebelum ini) dan digantikan dengan iklan lain yang sudah diluluskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"(Namun) bermula jam 10 pagi, MBJB melaksanakan tindakan menurunkan papan iklan premis itu kerana masih mengandungi elemen atau logo bintang satu.

"MBJB menegaskan kepada semua pemilik premis perniagaan agar setiap papan tanda dan iklan yang ingin dinaikkan perlu mematuhi peraturan sedia ada termasuk melepasi tapisan DBP serta Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, premis itu diperiksa pada 29 Disember lalu yang didapati mempunyai dua papan iklan iaitu sebuah papan iklan yang sudah diluluskan DBP, manakala sebuah lagi adalah iklan tambahan tetapi tiada kelulusan MBJB.

Katanya, iklan tambahan itu kemudian dinotiskan di bawah UUK Pelesenan Iklan (MBJB) 2010, 7(1) iaitu iklan tidak mempunyai lesen yang sah.

Sebelum itu ketika operasi pada 12 November, tindakan penguatkuasaan diambil ke atas premis itu dengan membuka dan menyita papan iklannya kerana mempunyai unsur yang tidak melambangkan budaya serta cara hidup masyarakat Malaysia.

MBJB turut menyarankan agar masyarakat disarankan agar menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihaknya sekiranya terdapat lain-lain paparan yang berunsurkan komunisme atau perkara mengundang sensitiviti masyarakat di dalam kawasan MBJB agar tindakan segera dapat diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 4:22 PM