JALAN Gasing Indah di Petaling Jaya ditutup sepenuhnya kepada laluan kenderaan sepanjang PKPbagi mengelak penularan Covid-19. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
JALAN Gasing Indah di Petaling Jaya ditutup sepenuhnya kepada laluan kenderaan sepanjang PKPbagi mengelak penularan Covid-19. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menutup empat jalan masuk di sekitar Petaling Jaya bagi mengatasi masalah individu masih mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara laluan ditutup ialah Jalan Gasing Indah yang menghubungkan kawasan Sri Petaling melalui Pantai Dalam ke Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya mengambil keputusan menyekat laluan berkenaan bagi mengawal pergerakan bebas penduduk Sri Petaling ke Petaling Jaya dan mengurangkan risiko jangkitan.

“Selepas 11 hari menghadapi PKP, kami dapati masih ada individu ingkar dan mengambil kesempatan ke atas laluan alternatif bagi mengelakkan ditahan dalam enam sekatan jalan raya (SJR) yang sudah dilaksanakan.

“Pengguna perlu melalui laluan alternatif lain iaitu Lebuhraya Pantai Baru (NPE) atau Jalan Pantai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, selain Jalan Gasing Indah, pihaknya turut menutup jalan di kawasan Kota Damansara membabitkan Jalan Persiaran Mahogani (Seksyen 9); Jalan Persiaran Jati (Seksyen 8) dan Jalan Persiaran Sungai Buloh (TSB).

“Di Kota Damansara, laluan ditutup adalah sempadan Kota Damansara dan Sungai Buloh dan statistik jangkitan kedua-dua kawasan ini adalah meruncing.

“Lencongan dibuat bagi mengawal pergerakan bebas masyarakat yang masih enggan mematuhi PKP.

“Bagaimanapun, laluan ini masih boleh dilalui ambulans, bomba, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan polis,” katanya.

Beliau berkata, empat anggota kawalan ditugaskan mengawal keselamatan di setiap jalan ditutup itu selama 24 jam sehari.

Menurutnya, secara keseluruhan sebahagian besar masyarakat di Petaling Jaya sudah mula peka dan bertanggungjawab mematuhi saranan pihak penguatkuasaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 4:59 PM