GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 12.01 tengah malam ini hingga 26 Januari ini, pihak polis Petaling Jaya akan melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa kawasan dalam daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lokasi SJR adalah Jalan 4/56, Gasing Indah; Jalan Persiaran Mahogani, Kota Damansara; Jalan Persiaran Jati, Kota Damansara; dan Jalan Persiaran Sungai Buloh, Kota Damansara.

Menurutnya, laluan lain adalah di Lampu isyarat PJU 8/1 Damansara Perdana, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) susur keluar ke Mutiara Damansara/Damansara Perdana dan laluan masuk Tol Damansara ke Bayu Putri berdekatan Tropicana, Damansara.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan agar terus berada di rumah serta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya jaringan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

"Pihak polis Petaling Jaya berharap kepada pengguna jalan raya khususnya masyarakat Petaling Jaya supaya sabar dan tabah dalam menangani wabak Covid-19 ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 5:51 PM