Ruwaida Md Zain

POLIS Shah Alam mencadangkan agar operasi perniagaan makanan dikurangkan sehingga 7 malam seperti dilakukan di beberapa negeri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, cadangan itu bagi mengurangkan pergerakan kenderaan yang kembali mendadak di sekitar Shah Alam sejak beberapa hari lalu dengan kebanyakan alasan keluar membeli makanan.

“Di antara alasan paling jelas sekali, mereka keluar beli makanan sebab memang waktu itu boleh keluar beli makanan.

“Maknanya dalam tempoh sekarang ini, kita membenarkan perniagaan makanan mulai 7 pagi hingga 12 tengah malam, jadi kita kena lihat balik.

“Mungkin tempoh itu bagi saya terlampau panjang sehingga 12 (tengah malam), saya rasa kita boleh kurangkan seperti beberapa negeri melaksanakan operasi jualan makanan dari 7 pagi hingga 7 malam, jadi saya berharap masyarakat di Shah Alam khususnya, Selangor dan Malaysia amnya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pengamal media dibawa melihat sendiri rondaan Unit Kenderaan Bermotosikal (URB) dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) sempena Penugasan Op COVID-19 di sini, malam tadi.

Rondaan itu membabitkan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lebuhraya Guthrie (berdekatan Shah Alam), sekitar perumahan dan kedai di TTDI Jaya Shah Alam, Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 15 dan berakhir di SJR Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26.

BAHARUDIN bersama pekerja di restoran di TTDI Shah Alam ketika rondaan sempena Penugasan Op Covid-19. FOTO Ruwaida Md Zain
BAHARUDIN bersama pekerja di restoran di TTDI Shah Alam ketika rondaan sempena Penugasan Op Covid-19. FOTO Ruwaida Md Zain

Baharudin berkata, lokasi SJR kedua di bawah IPD Shah Alam iaitu bekas Tapak Tol Sungai Rasau Lebuhraya Persekutuan (arah ke Kuala Lumpur) terpaksa dibuka dua lorong kerana kenderaan terlalu sesak.

“Jumlah kenderaan di sana amat banyak, jadi kita terpaksa buka dua lorong daripada satu lorong sebelum ini untuk SJR.

“Daripada pagi, tengah hari, petang dan malam memang banyak kenderaan, saya percaya mungkin dalam pukul 11 malam kenderaan akan berkurangan di sana,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga masih tertanya-tanya kenapa pengguna jalan raya masih berada di jalan raya dalam tempoh PKP ini.

“Saya tidak boleh jawab, (masih ramai di jalan raya) itu kena tanya masyarakat kenapa mereka masih di jalan raya dalam keadaan kita melaksanakan penguatkuasaan PKP ini.

“Saya ingin menasihatkan kepada semua rakyat Malaysia, patuhi PKP COVID-19 dan duduk di rumah, dan berdoa semoga kita selamat dan sihat sejahtera,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada orang awam yang mengasari polis sebaliknya polis di sini mendapat kerjasama baik dari mereka.

Beliau bersama anggotanya turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Polis ke-213 kepada semua polis di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 11:33 AM