Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Polis akan melakukan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan keluar dan masuk ke Terengganu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, SJR akan dilakukan selama 24 jam di pintu sempadan negeri iaitu tiga di Kemaman dan dua di Besut.

Katanya, lima SJR di Kemaman dan Besut adalah tetap bagi memastikan tiada individu dari zon merah melepasi masuk ke negeri ini.

"Di Kemaman, SJR akan diadakan di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Perasing, Paya Berenjut dan Tol Cheneh manakala di Besut, SJR dilakukan di Kampung Pachakan dan Kampung Tok Saboh.

"Bagi kawasan Jerteh dan Bukit Yong, ia akan diambil alih Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Kelantan.

"Lebih 1,000 pegawai dan anggota akan digerakkan bagi memantau serta melakukan rondaan sepanjang PKPB ini.

"Penugasan kita bukan hanya di SJR tetapi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat ketika berada di tempat awam," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Hulu Terengganu di sini, hari ini.

ROSLEE ketika sidang media berhubung berhubung isu pelaksanaan PKP-B di  Terengganu. FOTO Ghazali Kori
ROSLEE ketika sidang media berhubung berhubung isu pelaksanaan PKP-B di Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Roslee berkata, pihaknya turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP ditetapkan pihak kerajaan sepanjang PKBP.\

Katanya, dalam tempoh berkenaan, hanya dua individu sahaja dibenarkan berada dalam satu kenderaan.

"Jika terdapat penumpang yang lebih di dalam satu kenderaan, kita akan meminta mereka berpatah balik selain pemakaian pelitup muka susulan peningkatan kes Covid-19 yang begitu ketara.

"Kita juga memfokuskan pemantauan dan rondaan di kawasan tumpuan awam bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 5:28 PM