Gambar fail, anggota polis trafik mengawal lalu lintas. Foto NSTP.
Gambar fail, anggota polis trafik mengawal lalu lintas. Foto NSTP.
Ruwaida Md Zain


POLIS Selangor mengurangkan Sekatan Jalan Raya (SJR) di beberapa kawasan dalam pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Klang Selatan, Klang Utara dan Kuala Langat bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, setakat ini dua lokasi SJR yang kekal beroperasi 24 jam iaitu di Seksyen 7 dan Seksyen 26.

"SJR Mobile pula tertumpu pada lewat malam hingga pagi iaitu 10 malam hingga 2 pagi dan 11 malam hingga 3 pagi dan ini membabitkan empat balai polis iaitu Seksyen 6, Seksyen 9, Seri Muda serta Bukit Jelutong.

"Lapan pasukan pemantau meneruskan rondaan dan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19 di lapangan dan mengambil tindakan aduan awam seperti biasa, membabitkan kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

"Penugasan statik di tempat-tempat tumpuan seperti perhentian bas dan pasar raya juga diteruskan," katanya ketika dihubungi.

Bagi Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya mengekalkan SJR di Banting dan Batu 7 Sijangkang, manakala tiga lagi di Sri Cheeding berhampiran Tol SKVE dan Jalan Kebun ditutup.

"SJR itu akan berubah kepada penugasan pemantauan dan 'Snap Check' selain pemantauan dan kawalan di kawasan tumpuan orang ramai dan industri.

"Ini bagi memastikan orang ramai patuh arahan dan mengamalkan konsep penjarakan sosial, kita juga akan buat penugasan di kawasan dikenal pasti menjadi laluan pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya jalan pantai dari Tanjung Sepat ke Pulau Carey," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, hanya satu SJR kekal iaitu Jalan Langat (Banting ke Klang) manakala, lapan lokasi diganti 'Snap Check' dan rondaan MPV serta URB.

Tindakan sama diambil IPD Klang Utara yang menurut Ketua Polis Daerahnya, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, hanya dua daripada empat SJR dikekalkan.

Pada 1 Mei lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengurangkan sekatan jalan raya dan menumpukan kepada pematuhan penjarakan sosial selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 10:04 AM