BANK Negara Malaysia. FOTO Arkib NSTP
BANK Negara Malaysia. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

ORANG ramai masih boleh mengakses perkhidmatan kewangan penting di seluruh negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasakan bermula esok hingga 31 Mac ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan, hari ini berkata urusan perkhidmatan kewangan akan terus beroperasi dalam tempoh dagangan seperti biasa.

Menurutnya, semua institusi perbankan, institusi kewangan pembangunan, syarikat insurans dan pengendali takaful akan memastikan operasi mereka berterusan.

Katanya, ia termasuk tanpa gangguan akses kepada terminal layan diri, mesin ATM dan mesin deposit tunai di semua cawangan serta lokasi yang boleh diakses.

“Kami menggesa orang awam untuk bertenang dan bersabar kerana penyedia perkhidmatan kewangan melancarkan langkah kawalan serta pengurusan mereka untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan dan pekerja diutamakan dan dipelihara sepanjang tempoh itu.

“Orang ramai dinasihatkan merujuk kepada laman web penyedia atau hotline perkhidmatan pelanggan institusi kewangan terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Katanya, penyedia perkhidmatan tukaran wang dan kiriman wang bukan bank terpilih juga akan beroperasi sekurang-kurangnya tiga hari seminggu bagi memastikan ketersediaan perkhidmatan sepanjang tempoh itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 9:25 PM