KAD alumni UKM Affin diperkenalkan untuk menonjolkan identiti alumni UKM dan mewakili jalinan sepanjang hayat alumni bersama alma mater mereka.
KAD alumni UKM Affin diperkenalkan untuk menonjolkan identiti alumni UKM dan mewakili jalinan sepanjang hayat alumni bersama alma mater mereka.
HM Digital

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Perhubungan Alumni UKM dengan kerjasama Affin Bank Berhad melancarkan Kad Kredit/Debit Alumni UKM AFFIN untuk kegunaan alumni dan alumni bersekutu.

Melalui kad ini, alumni dan alumni bersekutu dapat menikmati banyak keistimewaan ditawarkan UKM serta Affin Bank.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar Profesor Madya Dr Mohd Suzeren Md Jamil berkata, alumni adalah aset penting kepada universiti dan penyumbang utama kepada kecemerlangan universiti.

Katanya, sempena majlis konvokesyen UKM ke-50 akan datang, kad ini dibuat khusus untuk memberi penghormatan dan penghargaan kepada alumni.

"Kad ini diperkenalkan untuk menonjolkan identiti alumni UKM dan mewakili jalinan sepanjang hayat alumni bersama alma mater mereka.

"Melalui kad ini, alumni UKM layak menerima pelbagai faedah ditawarkan Affin Bank dan universiti.

"Antaranya ialah pengurangan yuran pendaftaran, penggunaan kemudahan sukan, keahlian perpustakaan dan penggunaan makmal penyelidikan," katanya.

Menurutnya, di samping berbelanja secara berhemah, alumni dapat menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan universiti melalui perbelanjaan dari kad ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah yakin perkongsian ini akan membawa nilai segera kepada pemegang kad.

Menurutnya, alumni boleh mendapat manfaat daripada keistimewaan yang ditawarkan kad kredit dan debit ini serta produk lain termasuk penyelesaian kewangan yang disediakan pada kadar kompetitif.

"Kerjasama ini adalah bukti komitmen Affin Bank untuk menjangkau segmen pelanggan yang lebih luas dengan harapan ia dapat menjadikan pengalaman perbankan menjadi lebih mudah diakses.

"Ini adalah selaras komitmen bank ke arah menyediakan perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 6:43 AM