FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap

TINDAKAN pemandu lori menakutkan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas gagal dalam ujian Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) membawa padah apabila dihukum penjara selama 30 hari oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari membuat keputusan itu terhadap Zulkarnain Mansor, 38, dari Bandar Seri Jempol selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, Zulkarnain menakutkan pegawai berkenaan dengan menunjukkan tukul pelbagai guna di hadapan pejabat JPJ Bandar Seri Jempol pada 13 Mac lalu, 10.30 pagi.

Tertuduh didakwa melakukan ugutan itu selepas kecewa kerana gagal dalam ujian yang ketika itu pegawai JPJ berkenaan menjadi pegawai pemeriksa ujian.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 6:49 PM