GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu memberi jaminan bekalan petrol dan diesel mencukupi untuk keperluan penduduk negeri ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan bahan api mencukupi, selain memastikan pengusaha mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Setakat ini, kita tidak menerima aduan mengenai ketiadaan bekalan atau pengusaha menghentikan operasi mereka, namun kita sentiasa melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan masalah tak berlaku.

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang didapati menutup stesen atau menghentikan penjualan petrol dan diesel tanpa kebenaran mahupun beralasan menutupnya kerana tiada bekalan.

“Tidak timbul isu bekalan tidak cukup sekiranya mereka (pengusaha) merancang dengan baik ketika pengambilan stok,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, pemegang lesen runcit petrol dan diesel tertakluk Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang mana memerlukan mereka patuh setiap syarat termasuk memastikan bekalan harian mencukupi dan tidak menutup operasi.

Laporan sebelum ini menyebut Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia, Datuk Abu Samah Bachik sebagai mendakwa pengguna dikhuatiri berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari 2019.

Beliau dilaporkan berkata, ia berpunca daripada keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang akhir bulan ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini mengeluarkan kenyataan memberitahu kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 7:04 PM