KAMARUDDIN Sidek. FOTO NSTP
KAMARUDDIN Sidek. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PAS Melaka saran Exco yang dipilih dalam kerajaan negeri supaya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kemampuan tadbir urus.

Pesuruhjaya PAS Melaka Kamaruddin Sidek berkata, kerja pertama yang perlu dilaksanakan mereka adalah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kemampuan tadbir urus serta atasi kegelisahan.

“Antaranya masalah air, ekonomi, pengangguran serta isu agama yang banyak tercalar di zaman kerajaan dahulu,” katanya.

Menurutnya, nasib pekerja yang diberhentikan sebelum ini sehingga memberi tekanan hebat kepada golongan berkenaan juga perlu dibela.

“Selain itu, isu perpaduan antara kaum juga amat signifikan untuk dirangka semula demi kestabilan dan keharmonian rakyat negeri Melaka,” katanya yang menyambut baik pelantikan Exco baharu kerajaan negeri gabungan Perikatan Nasional (PN) negeri berkenaan.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan diumumkan sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, bekas Ketua Menteri yang yang juga Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dilantik sebagai Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir.

Adun Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan) serta Adun Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan).

Manakala Adun Taboh Naning, Datuk Latipah Omar (Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan); Adun Merlimau, Datuk Roslan Ahmad (Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur);

Sementara itu, Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Adun Ayer Molek, Rahmad Mariman (Exco Kesihatan dan Antidadah) dan Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad (Exco di Jabatan Ketua Menteri).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 10:40 AM