IDRIS dan Norhizam selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Exco di Dewan Seri Negeri. FOTO Amir Mamat
IDRIS dan Norhizam selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Exco di Dewan Seri Negeri. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


BEKAS Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menangkis tanggapan pelantikannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebagai ‘turun pangkat’ seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu, kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali adalah suatu amanah yang perlu dipikul.

“Jika kita pandang jawatan ini sebagai suatu keistimewaan, kebesaran atau kemegahan, ia sudah tentu akan memperlihatkan suatu ‘down grading’.

“Pada saya, jawatan ini bukan suatu keistimewaan, sebaliknya ia tanggungjawab dan amanah besar yang perlu kita bawa dan pikul untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Exco di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Pada istiadat itu, Idris yang juga Ketua Menteri Melaka ke-10 dilantik sebagai Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir.

Mengulas lanjut beliau berkata, dengan pengalaman yang dimiliki sepanjang sepenggal menjadi Ketua Menteri, beliau melihat fungsinya adalah untuk membantu Sulaiman dan bekerja secara berpasukan.

“Kita tidak ada wira di sini, sebaliknya masa yang ada ini kita perlu mencapai usaha mentadbir dengan berkesan untuk membela nasib rakyat Melaka,” katanya.

Sementara itu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dilantik Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, berterima kasih kepada Sulaiman yang melantiknya menganggotai ‘Kabinet’ negeri.

“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana melantik saya sebagai Exco. Tugas saya kini adalah menjurus kepada usaha memastikan sumber makanan mencukupi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 8:20 PM