Nuraliawati Sabri


Melaka: Barisan Exco baharu negeri Melaka akan diputuskan dalam tempoh 48 jam, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, pihaknya perlu merujuk pucuk pimpinan parti sebelum menyenaraikan Ahli Dewan Undangan (Adun) yang akan diangkat sebagai Exco kerajaan negeri yang baharu.

"Barisan Exco akan diputuskan dalam masa terdekat, saya sedang membuat pertimbangan mengenai perlantikan Exco baharu.

"Saya akan rujuk kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan apakah hala tuju kemudian saya akan ambil petua untuk merangka barisan Exco," katanya pada sidang media selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, pembentukan Exco baharu disegerakan bagi memastikan perjalanan pentadbiran negeri berjalan seperti biasa.

"Exco terdahulu secara automatik terbubar. (Lantikan baharu) Tiada seminggu, dua minggu, sebaliknya dalam tempoh 48 jam. Ia tidak boleh lama-lama negeri hendak berjalan.

"Exco kita kekal 10 orang, blok yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari itu, 21 kerusi, jadi pandai-pandailah kira," katanya.

Sementara, itu beliau yang juga Adun Tanjung Bidara turut menegaskan akan meneruskan program dan projek yang dirancang oleh bekas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebelum ini.

"Saya akan memikul tanggungjawab ini dan memberikan penambahbaikan kepada program atau projek yang diusahakan beliau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 6:00 PM
AB Rauf pada sidang media di Kompleks Seri Negeri selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. FOTO Aswadi Alias.
AB Rauf pada sidang media di Kompleks Seri Negeri selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. FOTO Aswadi Alias.