ZULKIFLI membacakan doa selepas mengimamkan solat sunat di majlis Tausiyah 'Am Agensi-Agensi Agama di Putrajaya, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ZULKIFLI membacakan doa selepas mengimamkan solat sunat di majlis Tausiyah 'Am Agensi-Agensi Agama di Putrajaya, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengajak seluruh masyarakat mendoakan agar penularan wabak Covid-19 berakhir sebelum bermulanya musim ibadah haji tahun ini.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk kerajaan membuat sebarang ketetapan berhubung peluang umat Islam menunaikan haji buat masa ini kerana tempoh permulaan musim haji masih berbaki empat bulan.

“Perkara ini kita kena lihat ketika waktu yang hampir dengan masa ibadah itu, iaitu ketika mana hampir waktu haji.

“Sekarang kita ada dalam empat bulan lagi, jadi kita doa kepada Allah SWT supaya wabak Covid-19 berlalu pergi (ketika musim haji),” katanya kepada pemberita selepas melakukan tahnik kepada lebih 40 bayi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, hari ini.

Penerbangan pertama jemaah haji bagi tahun ini dijadual pada 22 Jun dengan 33,600 jemaah dijangka berangkat ke Tanah Suci.

Arab Saudi pada akhir bulan lalu memutuskan menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi, Madinah, untuk sementara waktu susulan penularan wabak COVID-19 di Timur Tengah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 12:02 PM