GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Akur dengan keputusan tiada jemaah dari Malaysia untuk musim Haji pada tahun ini, namun masih optimis diberikan kebenaran untuk menunaikan ibadah umrah.

Begitu harapan Pengarah Urusan Kurma Travel and Tours, Dr Fathir Badri Al Hadad susulan keputusan terbaharu kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan jemaah luar menunaikan haji pada musim ini.

Menurutnya, syarikat pengendali haji dan umrah pasti terkesan dengan keputusan itu walaupun pada mulanya optimis kebenaran diberikan.

"Sebagai sebuah syarikat yang mengendalikan haji Furada, saya optimis kebenaran diberikan kepada jemaah dari Malaysia susulan lawatan beberapa pemimpin utama termasuk Perdana Menteri ke Arab Saudi, baru-baru ini.

"Namun, kita perlu akur kerana keputusan yang dibuat kerajaan Arab Saudi mengambil kira jumlah terkini jangkitan Covid-19 seluruh dunia termasuk di negara berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beberapa hari lalu, Riyadh mengumumkan hanya jemaah luar negara yang berada di Arab Saudi saja dibenarkan menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini.

Tahun ini adalah kali kedua Arab Saudi tidak membenarkan jemaah luar negara menunaikan haji susulan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

Dr Fathir yang juga Presiden Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Selangor (SAFTTA) berkata, pihaknya berharap kerajaan Arab Saudi dan kerajaan Malaysia akan membenarkan jemaah menunaikan umrah tahun ini.

Menurutnya, jemaah perlu divaksin sebelum dibenarkan menunaikan ibadah itu jika ia dijadikan syarat utama.

"Jemaah yang divaksin akan meningkatkan daya tahan tubuh mereka khususnya ketika di Makkah dan Madinah ketika menunaikan umrah. Pasti jemaah bersedia mematuhi arahan itu jika kebenaran diberikan Arab Saudi dan kerajaan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 4:45 PM