ABD Rahim (kiri) meninjau kawasan perumahan penduduk pada lawatan pemantauan pencegahan wabak denggi di perumahan Sungai Isap. FOTO Mohd Rafi Mamat
ABD Rahim (kiri) meninjau kawasan perumahan penduduk pada lawatan pemantauan pencegahan wabak denggi di perumahan Sungai Isap. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

KHABAR angin yang tersebar terdapat tiga kes kematian penduduk perumahan Sungai Isap, Kuantan akibat demam denggi adalah tidak benar dan rekaan pihak tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda berkata, khabar angin yang tersebar sebelum ini menyebabkan penduduk Sungai Isap kini bimbang.

Menurutnya, kes wabak demam denggi di Pahang meningkat berbanding tahun lalu dan dalam tempoh dua bulan tahun ini lebih 22 kes dilaporkan namun tiada sebarang kematian direkodkan.

Walaupun perumahan berkenaan adalah kawasan wabak denggi secara berulang sejak beberapa bulan lalu namun ia masih lagi terkawal menerusi pelbagai program diadakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang secara berterusan.

Katanya, usaha membendung wabak berkenaan daripada terus bertambah kini giat dilakukan di semua peringkat dalam memastikan penularanya dapat disekat sepenuhnya.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan persekitaran kediaman mereka sentiasa bersih dan tidak terdapat bekas menakung air yang menjadi tempat membiak jentik-jentik.

“Penduduk perlu bersikap pembersih sebaliknya tidak meletakan tanggungjawab membersih kawasan rumah mereka dibahu agensi tertentu sahaja,” katanya selepas lawatan pemantauan pencegahan wabak denggi di perumahan Sungai Isap, Kuantan, semalam.

Beliau menambah, kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tertangga (KRT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diujudkan dalam meningkatkan tahap kebersihan di kawasan taman perumahan menerusi aktiviti gotong-royong dan kesedaran.

“Saya yakin tindakan tegas Jabatan Kesihatan dengan mengenakan kompaun kepada mereka yang memiliki jentik-jentik di rumah mungkin dapat membantu menyedarkan masyarakat terhadap pentingnya menjaga kebersihan di kawasan kediaman mereka,” katanya.

Katanya, kompuan RM500 mengikut Seksyen 13 (2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 boleh dikenakan pada individu yang memiliki jentik-jentik didalam dan persekitaran rumah mereka terutama membabit kawasan wabak deman denggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 11:15 AM