GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Petaling Jaya: Padah memiliki kereta curi, seorang penganggur dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM1,000 Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha, memutuskan hukuman berkenaan selepas C Kesavan, 39, mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Kesavan didapati memiliki harta curi iaitu Proton Waja bernilai RM7,000 dipercayai dicuri selepas dilaporkan hilang di Jalan SS 25/12, di sini, jam 2.10 petang, 13 April lalu.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Kesavan memohon hukuman ringan selepas meminta maaf kepada mahkamah dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu lagi.

"Saya tanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah, kehidupan susah serta perlu bayar pinjaman rumah," katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz, memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

"Mahkamah perlu mengambil kira kekerapan kes curi itu dan keselamatan awam," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 3:26 PM