MELAKA 06 JANUARI 2020. Ketua Menteri, Adly Zahari pada sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Perdana di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), Ayer Keroh. NSTP/KHAIRUNISAH LOKMAN
MELAKA 06 JANUARI 2020. Ketua Menteri, Adly Zahari pada sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Perdana di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), Ayer Keroh. NSTP/KHAIRUNISAH LOKMAN
Amir Mamat

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari enggan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri walaupun tidak memperoleh sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini.

Ketika berceramah di Program Solidariti Adly Zahari di luar pekarangan Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh malam ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu berkata, beliau tidak sesekali akan mengkhianati mandat rakyat yang mengangkatnya sebagai Ketua Menteri.

“Saya sudah mengadap Yang di-Pertua Negeri (Tun Dr Mohd Khalil Yaakob) bagi meminta supaya DUN dibubarkan. Biar kita lawan, baru kita tahu siapa yang layak (mentadbir Melaka).

“Kita lawan Barisan Nasional (BN). Rakyat sudah jatuhkan kerajaan yang salah guna kuasa, puluhan tahun rakyat berjuang berhabis wang ringgit, tenaga dan korbankan masa, (tetapi) hanya satu dua kerat pengkhianat, mandat rakyat dikhianati,” katanya.

Menurutnya, jalan yang terbaik untuk melihat mandat rakyat berpihak kepada sesuatu pihak, pilihan raya negeri perlu diadakan berdasarkan kepada Perlembagaan Negeri Melaka.

Mengulas mengenai dakwaan ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee bahawa beliau selama 22 bulan menjadi ‘barua’ dalam PH, Adly berkata, persoalan itu tidak perlu ditimbulkan ketika ini.

“Jangan sebut (barua). Rakyat boleh fikir kamu (Norhizam) jadi barua atau tidak (kerana) kamu dahulu di bawah diangkat oleh DAP, diletakkan di satu tempat yang lebih tinggi dari kawan-kawan lain.

“Saya beri tempat lebih daripada orang yang berjuang lebih lama dari kamu. Saya beri jawatan EXCO, kamu diberikan segala kelebihan lebih dari orang lain.

“Kenapa kamu khianati mandat rakyat ini, kalau bukan kamu memikirkan ‘tembolok’ kamu sendiri,” katanya.

Barisan Nasional (BN) Melaka hari ini mengumumkan membentuk kerajaan negeri yang baharu menerusi gabungan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain penyertaan ADUN Rembia daripada PKR Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Norhizam dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) itu.

Adly kemudiannya mencadangkan kepada Mohd Khalil supaya membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Seri Hasim Hasan kemudiannya memaklumkan bahawa Mohd Khalil tidak bersetuju dengan cadangan Adly itu.

Ia kerana, Mohd Khalil sudah mendapat representasi daripada sebilangan besar ADUN Melaka bahawa Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 11:34 PM