AB Rauf Yusoh. FOTO arkib NSTP
AB Rauf Yusoh. FOTO arkib NSTP
Amir Mamat


PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tumbang.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) Melaka membentuk kerajaan negeri yang baharu menerusi gabungan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ab Rauf turut mengesahkan penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) itu.

"Ketika ini BN mempunyai 13 ADUN, ditambah dua ADUN Bersatu iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain Jailani dan Norhizam menjadikan kita memperoleh sokongan majoriti ahli dewan.

"Secara rasminya kerajaan negeri ketika ini tidak berfungsi dan secara rasminya juga PN akan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri," katanya pada sidang medianya di Hotel MITC, Ayer Keroh, sebentar tadi.

Beliau berkata, nama Ketua Menteri Melaka yang baharu akan diumumkan tidak lama lagi selepas beberapa lagi rundingan dibuat dalam kalangan ADUN BN dan Bersatu.

"Kita akan umumkan (nama ketua menteri) dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, Mohd Rafiq berkata, Bersatu merakamkan penghargaan kepada BN yang dapat bekerjasama dalam gabungan politik baharu sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri.

"Apa yang berlaku ini adalah susulan dengan apa yang berlaku di peringkat Pusat dan bagi pihak Bersatu kita akan beri komitmen penuh kepada pembentukan kerajaan baharu ini," katanya.

Muhammad Jailan pula berkata, tindakannya menyertai PN adalah untuk memastikan nasib rakyat sentiasa terbela.

Ia termasuk masalah bekalan air yang melanda Melaka sejak awal tahun ini.

"Kewibawaan Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir negeri ini tidak mampu menunaikan mandat rakyat walaupun hampir 22 bulan mentadbir Melaka.

"Kita mahu Melaka mempunyai kepemimpinan yang lebih baik," katanya yang masih ahli PKR.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 5:03 PM