ADLY (kiri) menyifatkan kenyataan ‘jadi barua' yang dikeluarkan Norhizam sebagai alasan untuk tidak terus bersama Pakatan Harapan. FOTO Arkib NSTP
ADLY (kiri) menyifatkan kenyataan ‘jadi barua' yang dikeluarkan Norhizam sebagai alasan untuk tidak terus bersama Pakatan Harapan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KENYATAAN ‘jadi barua' yang dikeluarkan Datuk Norhizam Hassan Baktee dilihat hanya sebagai alasan menghalalkan tindakan beliau untuk tidak terus bersama Pakatan Harapan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu hanya mahu memastikan tindakan keluar dari PH tidak dipersoalkan rakyat yang memberi mandat kepadanya.

“Bagi saya, gelaran barua yang dikeluarkan oleh beliau (Norhizam) hanya alasan untuk menghalalkan tindakan beliau. Tindakan keluar dari PH sebenarnya mengkhianati mandat yang diberikan rakyat.

“Ini adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan dilihat sekadar mahu menutup kelemahan dirinya,” katanya dalam sidang media di Melaka yang disiarkan menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Dalam sidang media semalam, Norhizam yang juga Exco Melaka menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional demi kepentingan orang Melayu.

Norhizam juga menyerahkan sebarang kemungkinan mengenai jawatannya dalam DAP Melaka kepada pucuk pimpinan dan bersedia dengan apa juga keputusan.

Sementara itu, Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew menganggap kenyataan dikeluarkan Norhizam sebagai cubaan bagi merebut jawatan dalam kerajaan baharu.

“DAP Pusat akan mengambil tindakan tegas terhadap ADUN Pengkalan Batu itu kerana sanggup mengetepikan perjuangan PH dan semangat setia kawan demi jawatan dalam PN (Perikatan Nasional),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:32 PM