HASNI MOHAMMAD
HASNI MOHAMMAD
Ahmad Ismail


KERAJAAN negeri mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 dan menganggapnya sebagai kejayaan juga buat Johor.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Muhyiddin bagi memastikan semua agenda berkaitan kepentingan rakyat dapat dipenuhi.

“Tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri ke-8.

“Kami bersyukur kerana pelbagai kemelut kepimpinan akhirnya ternoktah. Pada masa sama, fokus kami juga membabitkan urusan bagi memajukan lagi Johor,” katanya.

Hasni berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Persidangan Berkelompok Tahunan UMNO Cawangan dan Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sekijang di Balai Islam, Kampung Lubok Selumar di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Sekijang Datuk Baharom Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Segamat Datuk Zahati Sarip.

Pada perkembangan lain, Hasni berkata, perkara pertama akan dilakukannya sebaik memulakan tugasan hari pertama di pejabat ialah mengkaji isu kenaikan cukai tanah yang berlipat kali ganda dilakukan kerajaan terdahulu.

“Saya dan rakan lain dalam pentadbiran kerajaan negeri akan bersama-sama rakyat untuk memajukan lagi Johor.

“Kemajuan dicapai dapat memastikan rakyat pelbagai lapisan secara keseluruhannya menikmati kehidupan lebih selesa. Terima kasih kerana bersama saya,” katanya.

Selain itu, menurut Hasni, perlantikan ketua kampung dan lain-lain yang berkaitan di negeri ini akan dilakukan sebaik lantikan EXCO dimuktamadkan.

“Penggunaan balai raya bagi mesyuarat cawangan UMNO yang sebelum ini dilarang turut terbatal.

“Kami tidak mahu ada urusan rakyat tertangguh lagi hanya disebabkan kemelut politik yang berpanjangan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 8:12 PM